You are here:
 
 

Sejarah Penubuhan JPSM

Jabatan Pembangunan Sumber Manusia atau ringkasnya JPSM yang sebelum ini dikenali Biro Pembangunan Sumber Manusia (BPSM) telah ditubuhkan pada 01 Julai 1988 melalui Kertas Kabinet Negeri Sabah Bilangan 5 Tahun 1988 bertarikh 10 Februari 1988 dan Surat Pekeliling Jabatan Ketua Menteri Rujukan CC107/439 Jld. 2/2 bertarikh 27 Julai 1988.

Pada dasarnya penubuhan BPSM adalah hasil pengabungan dua agensi kerajaan negeri iaitu Institut Tadbiran dan Penyelidikan Awam Sabah (SINAR) dan Unit Perancangan dan Pembangunan Tenaga Rakayat (UPPTR). BPSM kemudian diletakkan di bawah portfolio Kementerian Pembangunan Sumber dan Perusahaan Negeri Sabah pada 01 Januari 1996.

Atas keperluan semasa, pada 01 Jun 1999, BPSM diberi taraf jabatan dan diberi nama sebagai Jabatan Pembangunan Sumber Manusia melalui surut Rujukan JKM( R ) 100-52/5 Jld. 17 (97) bertarikh 16 Jun 1999 dan Kertas Kabinet Negeri Sabah No. 15/99. Ketika ini JPSM telah diletakkan di bawah porfolio Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri Sabah.

Pada 1 Julai 2002, Bahagian Latihan Sektor Awam, salah sebuah bahagian dalam JPSM telah pun dipisahkan dari JPSM dan dikenali sekarang sebagai Institut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN). Penubuhan INSAN telah dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri melalui pekeliling Jabatan Ketua Menteri bil. JPAN (S) 900-3/64/(25) bertarikh 19 November 2002.

Hasil daripada pemisahan ini, INSAN diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Ketua Menteri dan bertanggungjawab membangunkan keperluan dan pendekatan baru dalam latihan, pembangunan dan pembelajaran anggota Perkhidmatan Awam Negeri. Penubuhan INSAN dijangka menjamin pembangunan Sumber Manusia Sektor Awam yang lebih fokus, dinamik, cekap dan bersepadu.

JPSM yang diletakkan di bawah kawalan Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat (KPSKTM) diberi peranan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada aspek-aspek latihan dan pembangunan sumber manusia bagi memenuhi keperluan sektor swasta yang semakin meningkat di sektor-sektor atau industri perladangan, pertanian, pembuatan, perhotelan dan hospitaliti.

Joomla Templates and Joomla Extensions by JoomlaVision.Com